Malam ini sejuk. Hujan. Tidak seperti malam-malam kebiasaan. Aku barangkali demam atau pun terlalu lesu. Sekali lagi aku kembali ke Bangi dari Rompin. Duduk bersandar atas kerusi span yang selesa depan PC. Badan aku terasa sengal-sengal. Penat memandu. Alangkah indahnya andai badanku ini dapat diurut-urut dan dipicit-picit oleh sepasang tangan yang halus dan lembut. Entah bagaimana, benak aku melayang lagi. Dalam keadaan seperti ini, adalah teramat mudah untuk fikiran aku melayang. Lebih-lebih lagi lepas makan ubat. Akal aku tidak lagi bersama jasad. Fikiran aku masih di
Pulang cuti kali ini membawa satu lagi kesan lain pada aku. Sepanjang cuti kali ini, aku lebih banyak meluangkan masa bersama emak. Terlalu banyak yang telah dilalui wanita ini. Wanita yang aku sayang seluruhnya. Wanita yang tidak pernah aku ragui keikhlasannya. Dia segala-galanya. Wajah tabahnya yang bersih dan bercahaya, aku lihat semakin banyak garisnya. Mak sudah tidak secergas dulu lagi. Rambutnya semakin jarang. Cara mak memandang pun sudah lain. Pandangannya sudah semakin redup dan sayu. Wajah ketika menyambut aku pulang bercuti dan ketika melambai aku pulang belajar terlalu ketara kelihatan bezanya. Hal yang dari dulu berlaku, tetapi sekarang baru aku sedar adalah bila aku pulang bercuti, akulah yang menentukan menu makanan untuk setiap hari. Sarapan, tengah hari, petang, malam, dan tengah malam. Pagi-pagi lagi semasa dia kejutkan aku subuh, mak dah tanya nak sarapan apa. Dia akan bersungguh-sungguh menyediakannya.
Aku akur dengan jalan hidupku yang ditentukanNya. Daripada Tingkatan 1 aku telah dimasukkan ke asrama. Kemudian matrikulasi. Kemudian universiti. Kebanyakan masa aku dihabiskan di perantauan. Aku jarang dapat peluang luangkan masa dengan mak. Bapak mahu aku belajar. Belajar apa..? Berdikari barangkali. Supaya aku tidak menyusahkan dia satu hari nanti dan menolongnya pula. Jadi berguna.
Berguna pada siapa? Pengguna?
Emak sentiasa curi masanya untuk berborak dengan aku. Emak mahu tau anaknya itu sedang buat apa dan kisah aku di perantauan. Emak mahu tahu apa yang sedang berlegar-legar dalam perancangan masa depan aku. Emak juga bercerita pasal Angah yang pening pasal kenduri kahwinnya yang bakal diadakan hujung tahun ini. Pasal bakal besan Alang yang tidak tahu adat. Pasal Alang, cerita mak bakal besannya dulu ni kahwin di luar negara semasa mereka sama-sama belajar di luar negara dahulu. Terus nikah. Tiada merisik, tiada tunang. Jadi mereka telefon dan menyerahkan soal adat pada mak dan bapak aku. Pelik juga aku. Nenek dan datuknya tak ajar?
Emak juga bercerita tentang harapannya agar aku cepat tamat belajar, berkerja dan memperisterikan Shima. Kenapa emak asyik nak masuk bab tu je? Kadang-kadang aku naik rimas. Masih banyak perkara yang harus aku selesaikan dulu sebelum ke arah itu. Angan-angan aku, bila aku dah kerja nanti, mula-mula sekali aku nak target kereta idaman aku. Suzuki Swift. 6 speaker. Type R. Aku nak yang warna merah. Tak jauh pun angan-angan aku. Itu je. Tetapi bila difikir-fikirkan balik, itulah kegembiraan mak. Lagi pun kahwin pun bukanlah perkara yang tak elok. Menjauhi zina. Sunnah Nabi. Ibadat. Dapat pahala. Cuma aku rasa hal itu macam belum sesuai dibincangkan buat masa sekarang. Lagi pun kahwin banyak sangat pakai duit. Mati la aku. Lambat lagi kot. Entahlah, layankan je la. Mak aku seorang je. Tak ramai.
Emak bercerita pasal ular besar yang masuk menyorok ke dalam rimbunan daun-daun pandan di kebun belakang rumah. Emak bercerita pasal pokok-pokok pisang yang terlalu subur hingga menutup laluan longkang saluran air ke kebun. Emak bercerita pasal pokok besar di sebelah kebun yang tumbang dipanah petir dan menghempap pagar kebun. Emak bercerita pasal bapak yang semakin sibuk dengan syarikatnya yang baru nak menempa nama. Ke
Emak juga bercerita pasal ikan-ikan ‘guppy’nya. Emak bercerita cara-caranya menjaga air, makanan dan pembiakannya. Leceh juga rupanya. Anak-anak ikan yang baru keluar dari mulut ibunya harus cepat dialihkan ke bekas lain sebelum dimakan bapaknya. Airnya emak tukar 2 minggu sekali dengan air hujan. Kalau tak hujan, mak gunakan air paip biasa yang telah diperam seminggu. Aku tak faham sangat kenapa kena buat macam tu. Setiap kali balik cuti, aku lihat anak-anak ikan ini membesar dengan sungguh perlahan. Pandai mak kacukkan. Ekor ikan-ikan guppy yang besar dan berwarna-warni ini bergerak beralun-alun menurut ke mana tubuh ikan-ikan itu berenang pergi di dalam balang kaca bulat di ruang tamu rumah aku. Balang kaca di ruang tamu menempatkan ikan guppy yang telah dewasa dan berekor cantik. Baka induk dan yang masih belum matang emak tempatkan di dapur di dalam 2 bekas seramik berasingan.. lebih mudah membiak kata emak. Emak boleh luangkan masa yang lama melihat ikan-ikan itu berenang sampai aku pun terikut-ikut. Tenang betul rasanya melihat ikan-ikan itu berenang dalam balang kaca itu. Mak letak tumbuhan air dan jambatan seramik sederhana besar dalam balang kaca itu. Seakan-akan masuk ke dunia lain. Dunia yang mak sediakan untuk ikan-ikan itu. Ikan-ikan itu berenang-renang tenang ke bawah jambatan dan kadang-kadang bermain-main mencari makanan di celah-celah batu-batu putih dan dahan-dahan tumbuhan hijau yang memanjang ke atas itu. Emak bercadang untuk mengalihkan balang kaca dan bekas seramik ini ke dalam biliknya semasa majlis walimah adik-adikku nanti. Takut dikacau budak-budak kecil yang nakal katanya.
Adik-adikku dah nak kahwin, tapi aku? Ini semester terakhir insya-Allah. Genap tahun ni aku dapat ijazah. Semoga semuanya berjalan lancar. Aaamin. Aku juga berangan nak belikan emak sebuah akuarium yang besar dan dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan akuatik yang unik dan cantik suatu hari nanti. Siap dengan pam dan 5 bekas penapisnya. Jadi mak dah tak perlu nak susah-susah selalu tukar air. Ikan-ikan emak akan berenang-renang gembira di dalam dunia yang lebih luas dan indah hiasannya. Aku nak emak tersenyum sampai telinga.
No comments:
Post a Comment